KUALA LUMPUR: Hanya kerana dinasihat meninggalkan tabiat buruk dan kembali ke jalan Allah swt, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang gemar meneguk arak dan ponteng sekolah tergamak menghantar `SMS derhaka’ memaki-hamun ibu bapanya sendiri. Pelajar terbabit sanggup menghantar SMS memaki-hamun ibu bapanya tanpa mempedulikan dosa besar bakal ditanggungnya.


Menceritakan insiden itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, Ahmadi Baharudin, berkata dia menerima panggilan daripada seorang wanita meminta nasihat terhadap perilaku biadab anaknya.

“Saya bertanya lebih lanjut kepada wanita berkenaan dan dia menceritakan sikap buruk anak sulungnya itu,” katanya.
Katanya, anak wanita itu yang menjadikan penyanyi Barat sebagai idola suka bercampur dengan rakan sebaya yang liar, tidak suka ke sekolah selain terbabit dengan pelbagai aktiviti tidak sihat.

“Ibu remaja itu yang berusia lewat 30-an tergamam apabila membaca enam SMS berangkai dihantar anaknya bermula jam 9 malam hingga 10 malam, Ahad lalu. “Saya kemudian ditunjukkan SMS terbabit dan terkejut kerana ia mengandungi ayat menghina dan memaki-hamun ibu bapanya,” katanya. Menurutnya, SMS sama yang turut dihantar kepada suami wanita itu jelas menggambarkan betapa rendah moral remaja terbabit.

Ahmadi berkata, ibu remaja terbabit yang juga seorang suri rumah hanya mampu menangis teresak-esak mengenangkan sikap biadab anaknya.

“Remaja itu seolah-olah hilang akal dan pedoman kerana ibu bapanya cuba menasihatinya berubah, sebaliknya dianggap musuh atau rakan sebaya yang boleh dicerca begitu saja.

“Dia sewenang-wenang menghantar SMS kepada orang tuanya dengan kata-kata: `untuk pengetahuan kau, aku kaki mabuk! tak nak halau aku keluar dari rumah ke?’

“Malah, dia mendakwa semua dosa dilakukannya di bawah tanggungan kedua-dua orang tuanya,” katanya kepada Harian Metro.

Pada SMS kali keempat yang dihantar, remaja terbabit menghantar mesej berbunyi “kau sayang aku? buang masa kau sayang setan ini! aku keluar dari rumah sekarang dan tak payah cari aku. Aku berjanji tak akan jejak kaki di rumah kau lagi.”

Kandungan SMS itu membuat Ahmadi tidak percaya dihantar seorang anak kepada ibu bapanya sendiri.

“Saya yang simpati dengan nasib ibu bapanya kemudian menawarkan bantuan mencari remaja terbabit dan akhirnya menemuinya bersembunyi di rumah rakan Selasa lalu,” katanya.

Remaja berkenaan tidak menyedari kedatangan rombongan Ahmadi yang membawa ibunya.

“Saya terus ke bilik tidur lalu mengejutkannya dan bertanyakan kenapa bersikap biadab kepada ibu bapa,” katanya.

Ahmadi berkata, mulanya remaja berkenaan tidak mengaku menghantar SMS berkenaan, namun selepas diasak beberapa kali dia mengakui.

“Remaja liar itu mendakwa dia menghantar SMS itu kerana geram dan tidak tahan mendengar leteran ibu bapa yang dianggap mengganggu hidupnya yang inginkan kebebasan dan tidak mahu dikongkong,” katanya.

Justeru, bagi menyelamatkan masa depan remaja terbabit, wanita berkenaan bersetuju menghantar anaknya itu ke sebuah pusat pemulihan di Banting, Selangor.

“Saya sendiri akan mengawasi proses pemulihan remaja berkenaan yang kini menunjukkan tanda positif,” katanya.

 

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah on 08/25/2008 at 5:11 pm Uh

www.hmetro.com.my