Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah

KUALA LUMPUR: Hanya bermula dengan gerak hati mahu suka-suka mencacah tatu dengan imej ‘rama-rama iblis’ di bahu kanannya, seorang gadis kini hidup tertekan dan hampir membunuh diri kerana berasakan taubatnya tidak diterima Allah.

Gadis malang terbabit yang sudah bertaubat terus dihantui perasaan berdosa dan bersalah kerana bimbang amalan hariannya termasuk sembahyang lima waktu tidak diterima Allah kerana tatu berkenaan yang masih melekat di belakang tubuhnya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 19, berkata dia mula terjebak dengan pemakaian tatu itu selepas tertarik dengan perbuatan rakan-rakannya yang menganggap tanda badan itu kini menjadi satu trend semasa.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jurujual berkata, masalah keluarga selain tindakannya berhenti sekolah ketika dalam tingkatan empat, sedikit sebanyak menyumbang ke arah keruntuhan moralnya selama hampir empat tahun.

“Saya bergelumang dengan pelbagai jenis dosa daripada arak, maksiat hinggalah bersekedudukan di rumah sewa yang dikongsi beramai-ramai dan bercampur lelaki dan perempuan.

“Semuanya bermula apabila ibu kandung saya meninggal dunia ketika saya masih berusia 16 tahun sedangkan ketika itu saya memerlukan perhatian keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nur, kematian ibu akibat penyakit kanser menyebabkan dia tidak boleh menerima hakikat dan tekanan perasaan itu ditambah pula dengan sikap bapanya yang panas baran.

“Akibatnya, rakan banyak mempengaruhi saya berjinak dengan arak dan pusat hiburan hingga perangai saya menjadi liar dan tidak terkawal.

“Kegiatan saya itu akhirnya berjaya dihidu bapa sebelum saya dihantar ke sebuah pusat pemulihan akhlak di Batu Gajah, Perak, untuk menjalani rawatan,” katanya.

Malangnya, kata Nur, dia mendakwa semakin liar selepas dipengaruhi penghuni lain pusat pemulihan itu untuk mengambil dadah serta pil khayal dan sebaik dibebaskan dari situ, kehidupan sosialnya bertambah parah apabila ketagih Ecstasy dan kerap melarikan diri dari rumah bersama kenalan lelaki.

Kedegilannya itu menyebabkan bapanya hilang sabar sehingga menghamburkan kata-kata enggan mempedulikan Nur lagi selain menganggapnya anak terbuang.

“Tindakan bapa yang enggan mengaku saya sebagai anak menyebabkan saya nekad keluar dari rumah sebelum tinggal menumpang beramai-ramai di sebuah rumah kenalan di Johor Bahru.

“Ketika itu saya baru berusia 17 tahun dan kerap melihat rakan-rakan rumah sewa melakar tatu di tangan atau belakang badan dengan menggunakan beberapa peralatan ringkas.

“Ketika itu seorang remaja berasal dari Sabah berusia sekitar 20-an cukup mahir melukis tatu tanpa mengenakan bayaran tinggi kepada rakan-rakan.

“Anehnya selepas memiliki tatu itu, keinginan saya untuk melakukan seks semakin membuak-buak seolah-olah keinginan saya seperti dirasuk, menyebabkan saya dan tiga rakan wanita lain kerap bertukar-tukar pasangan,” katanya.

Bagaimanapun, Nur berkata, hatinya mula insaf selepas dia diajak tinggal bersama keluarga angkat rakannya di Kota Tinggi selepas mendapat kerja di daerah berkenaan.

“Sejak menetap di rumah keluarga angkat terbabit, jiwa saya mula tenang dan terusik setiap kali melihat ibu dan bapa angkatnya mengerjakan solat berjemaah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Runding Wanita Didik Diri Resources berpusat di Hulu Langat, Fitin Farhana Musiran, berkata dia sedih mendengar rintihan gadis berkenaan memandangkan dia benar-benar ingin bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

Katanya, gadis terbabit kerap menghubunginya dan bercerita masalah dan keinginannya untuk kembali menjadi ‘orang baik’ serta menjalani kehidupan seperti insan lain.

“Dengan kudrat yang ada saya memberi sedikit tunjuk ajar kepadanya supaya tabah dan insaf dengan apa yang berlaku selain mengajarnya melakukan taubat dan ibadat kepada Allah,” katanya.

Fitin menasihatkan remaja lain berhati-hati dalam setiap tingkah laku kerana besar musibahnya di kemudian hari jika tersilap memilih haluan.

Dipetik daripada Harian Metro