Di sebuah desa yang permai tinggallah seorang petani dengan keluarganya dalam keadaan serba kekurangan. Walaupun begitu hidupnya tetap ceria setelah Allah  mengurniakan kepadanya seekor lembu betina yang gemuk dan banyak mengeluarkan susu sebagai punca rezeki kepadanya untuk menyara keluarga. Setiap hari beliau akan ke pasar untuk menjual susu segar hasil  daripada lembunya itu.

    Petangnya, dia akan kembali dengan penuh keriangan hasil jualan susu yang begitu sekali mendapat sambutan. Pada suatu hari si petani itu berfikir bagaimanakah cara untuk mendapat keuntungan yang  berlipat ganda hasil jualan beliau. Lalu berbisiklah hati kecilnya “kenapa aku tak campurkan sedikit air dalam susu itu?” .. “Tentu ia akan lebih menguntungkan!” . Keesokan harinya dia mulalah melaksanakan rancangan yang telah diputuskannya semalam.

    Ternyata sekali rancangan tersebut berjaya menambah pendapatan beliau hari itu dan begitulah hari-hari yang berikutnya. Kini kehidupannya semakin baik, kewangannya melebihi keperluan, dapatlah beliau menyimpan sebahagian hasil pendapatan harian beliau itu untuk masa depan anak-anaknya. Dengan kehendak Allah Taala, pada satu hari ditakdirlah bahawa lembu kesayangan petani itu tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai lalu lemas.

    Beberapa rakan petani yang berada di situ, terus bergegas ke rumahnya lalu menceritakan apa yang berlaku ditepi sungai itu kepada si petani. Si petani itu terkaku sejenak. Berkatalah si isteri yang berada disampingnya “air sungai telah melemaskan lembu kesayangan kita..punca rezeki kita..punca rezeki anak-anak kita!!”. Si petani yang malang itu pun menegaskan dengan nada sedih “wahai isteriku yang ku sayangi! Sebenarnya yang melemaskan lembu kesayangan kita bukannya air sungai, tetapi air susu yang dicampurkan dengan air (perbuatan menipu) itulah yang melemaskannya”.

    Keesokannya, si petani itu mengeluarkan duit simpanannya untuk membeli seekor anak lembu betina yang hanya dapat menghasilkan sedikit sahaja susu. Walaupun begitu, dia tetap bersyukur dan mulai hari itu dia berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatannya yang lalu.

Renungan

  • Mengaut keuntungan dengan cara menipu adalah perbuatan yang diharamkan oleh syarak.
  • Jual beli secara halal dengan keuntungan yang sedikit adalah lebih baik daripada mendapat keuntungan yang besar dengan cara yang salah
  • Kembali ke pangkal jalan selepas terlanjur melakukan perkara  yang ditegah syarak adalah perbuatan yang mulia