Prof Dr Muhaya Mohamad

PADA zaman serba moden ini, hampir setiap rumah dan individu memiliki komputer peribadi, sama ada komputer riba mahupun meja. Sebilangan besar pengguna mengabaikan penjagaan mata apabila terlalu asyik bekerja atau menggunakan komputer.

Oleh kerana tumpuan yang berterusan terhadap skrin komputer dan kurangnya kelipan mata, ketidakselesaan boleh berlaku dan ini akan menyebabkan gejala mata kering. Situasi ini akan bertambah teruk jika individu adalah pengguna kanta lekap.


Golongan manakah yang sering mengalami gejala mata kering?

Gejala mata kering sering berlaku kepada pengguna kanta lekap. Ini kerana bahan yang terdapat pada kanta lekap itu akan menyerap protein dan komponen air mata yang lain. Inilah yang menyebabkan terdapatnya tompokan kering pada kanta lekap.

Adakah kajian mengenai gejala mata kering di tempat kerja?

Kajian dijalankan Universiti Ohio State menunjukkan kekerapan mata berkelip akan menurun daripada purata 15 kelipan seminit sewaktu mata di dalam keadaan tenang kepada 7.5 kelipan seminit, walaupun hanya merenung ke arah skrin komputer dalam masa lima peratus daripada tempoh waktu bekerja. Jumlah ini pula akan menurun kepada hanya empat kelipan seminit apabila merenung ke arah skrin komputer sehingga ke paras 50 peratus masa bekerja.

Mengapakah mata kita boleh menjadi kering?

Mata kita adalah organ badan yang akan berkelip secara semula jadi untuk merembeskan air mata dan menyegarkan kembali mata yang kekeringan. Jika kita merenung tepat tanpa berkelip meskipun untuk tempoh singkat, boleh menyebabkan mata menjadi kering dalam kadar yang lebih cepat terutama di dalam bilik berhawa dingin. Ini disebabkan lapisan nipis air pada mata akan terserap dengan lebih pantas.

Apakah penyebab gejala mata kering yang lain?

Penyebab utama mata kering ialah faktor umur, di mana apabila seseorang itu meningkat umur, keupayaan kelenjar lakrimal menghasilkan air mata akan berkurangan.

Selain itu kunjungan ke kelab malam yang penuh dengan asap rokok, udara persekitaran yang tidak bersih (contohnya di kawasan pembinaan), menaiki kabin pesawat kapal terbang, tidak menanggalkan alat mekap mata dengan betul dan penyaman udara juga boleh menyebabkan mata kering.

Jika berada di dalam kabin kapal terbang bagi perjalanan jarak jauh serta penerbangan pada altitud tinggi, tahap kelembapan sering menjadi terlalu rendah (pada tahap satu peratus) dan menyebabkan mata penumpang pesawat terutama yang menggunakan kanta lekap cepat kering.

Apakah cara terbaik untuk mencegah gejala mata kering?

Untuk mencegah mata kering semasa bekerja dengan komputer, anda haruslah berkelip dengan lebih kerap dan merehatkan mata dengan melihat pada objek yang jauh setiap 10 minit selepas merenung skrin komputer.

Walaupun ada nasihat dan panduan mengenai aras yang sesuai bagi penumpuan berterusan pada skrin komputer iaitu skrin haruslah berada pada sama paras dengan mata kita, tetapi adalah digalakkan untuk meninggikan kerusi supaya kedudukan anda lebih tinggi dan merenung ke bawah untuk melihat skrin komputer.

Ini akan mengurangkan tahap pengeringan air mata kerana ia mengurangkan paras pendedahan kepada komputer dan juga mencegah keletihan kepada leher semasa bekerja.

Apakah mata kering akan menyebabkan kebutaan?


Tidak sama sekali. Ia hanya menyebabkan ketidakselesaan. Ia satu keadaan yang senang dirawat dengan titisan air mata palsu yang senang didapati di mana-mana farmasi. #