Tok Selehor
Tok Selehor atau Hj Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik dilahirkan di kampong Lubok Jong di kawasan Pondok Selehor, Tumpat, Kelantan pada tahun 1871.
Di kampung Selehor beliau membesar di bawah jagaan dan kasih sayang ibunya, Mek Wi binti Muhammad Amin dan ayahnya, Hj Uthman bin Senik.
Ayahnya, Hj Uthman bin Senik bercita – cita tinggi untuk mendidik Abdul Rahman agar menjadi seorang ulamak demi masa depannya setelah ibu bapa meninggal nanti. Oleh yang demikian, Hj Uthman begitu mengambil berat tentang pengajian al Quran, malah beliau sendiri yang menjadi guru Al Quran.
Hj Abdul Rahman telah berjaya menamatkan pengajian al Quran dengan ayahandanya sendiri. Setelah itu beliau dihantar belajar di Sungai Pinang khusus untuk mempelajari Bahasa Arab daripada seorang ulama’, Haji Abdul Malek. Bertitik tolak dari situ, Hj Abdul Rahman meneruskan pelajarannya di Patani khusus untuk mendalami pengetahuan.
Di Patani, Abdul Rahman sempat berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid yang begitu terkenal pada masa itu. Walau bagaimanapun pengajian Abdul Rahman terbantut kerana Tuan Guru Hj Abd Rashid ditangkap oleh pihak berkuasa kerana bimbang pengaruhnya yang besar. Beliau tidak berputus asa lalu menyambung pengajian dengan Tuan Guru Hj Abdullah Bendang Jong.
Abdul Rahman menamatkan zaman bujangnya ketika di Patani apabila beliau berkahwin dengan Wan Halimah binti Dolah atas pilihan keluarga.
Setelah tamat pengajiannya di Patani Tok Selehor mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di Makkah. Dengan berbekalkan Bahasa Arab yang dimilikinya beliau mampu mendalami pengajian ilmu agama di Tanah Suci pada waktu itu. Di Makkah, beliau sempat bergurudengan Syeikh Daud al Fathoni, ulama Melayu yang terkenal di Makkah ketika itu.
Di Makkah Abdul Rahman sekali lagi bertemu jodoh, kali ini beliau berkahwin dengan Hajjah Aishah bt Hj Mahmudyang berasal dari Penambang, Kota Bharu. Bagaimanapun jodoh mereka tidak lama dan berpisah setelah kembali ke Kelantan. Kemudian Abdul Rahman berkahwin dengan Hajjah Mek bt Mat Saman yang hasil perkahwinan tersebut beliau telah dikurniakan dua cahaya mata lagi.
Setelah berada di Makkah kira-kira lapan belas tahun, beliau mengambil inisiatif untuk membuka pondok di tanah ayahnya, yang terletak di tepi Sungai Selehor. Maka sekembalinya ke tanah air pada tahun 1340H. Pembukaan pondok itu menjadi realiti. Tidak lama kemudian, Pondok Selehor menjadi masyhur dan menerima ramai pelajar dari dalam dan luar Kelantan.
Tok Selehor menjadi ulama pertama yang merayakan Maulid Nabi secara besar-besaran . Kerana penghayatan dan cinta yang begitu tinggi kepada Nabi , beliau mengajak orang Islam agar berzanji dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran yang diadakan olehnya dapat diterima oleh masyarakat setempat. Pernah ribuan rakyat dari dalam dan luar Kelantan datang untuk menyambut maulid anjurannya itu.
Tanggal 18 Zulkaedah 1353H, jam 8.30 malam Tok Selehor pulang menemui Yang Maha Kuasa dalam usianya 64 tahun.


















