KISAH BENAR : Strategi Satu Penipuan
Assalamu alaikum wrth & Salam Mahabbah.
12.00 malam. 27 Januari 2009. All-Hamdulillah, syukur ke hadhrat Ilahi, kali ini penulis ingin berkongsi satu kisah benar yang dialami sendiri oleh penulis awal malam tadi. Penulis bersama keluarga menerusi Lebuhraya Utara Selatan dalam perjalanan balik ke Mersing dari Kuala Lumpur selepas bercuti selama tiga hari sempena cuti umum Tahun Baru Cina. Kira-kira jam 6.50 petang, kami berhenti di Hentian R&R Ayer Keroh untuk mengisi petrol di Stesyen Minyak Petronas. Sejurus selepas mengisi minyak, penulis memberhentikan kenderaan di bahu jalan berhampiran stesyen minyak berkenaan kerana menunggu isteri membeli makanan di Kedai Mesra Petronas.
Sebaik sahaja isteri penulis kembali ke kenderaan dan kami bersedia untuk meneruskan perjalanan, tiba-tiba sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam berhenti di sebelah kami. Kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki warga asing. Bersamanya seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan. (isteri & anak agaknya). Beliau bertanyakan arah ke Singapura, berapa jarak perjalanan ke sana? dan "Money Changer" untuk menukar matawang US Dollar. Tanpa prasangka buruk, penulis menjawab dengan tenang. (mana nak cari Money Changer kat situ, tak pernah ku lihat).
Lelaki berkenaan keluar dari kereta lalu mendekati kami sambil mengeluarkan dompetnya dan menunjukkan duit USD100 dan RM100. Beliau bertanyakan berapa nilai wang berkenaan . Penulis jawab 'RM100'. Penulis bertanya , " awak berasal dari mana?' Dia jawab : ' Dari Syria .. dan seorang Muslim.' Penulis mula sangsi kerana raut wajah tidak menggambarkan bahawa dia warganegara Syria.
' Berapa nilai RM yang lebih besar dari RM100? Ada berapa warna? ', Lelaki berkenaan bertanya. Penulis menjawab sambil menunjukkan beberapa keping RM mengikut jumlah dan warna tertentu, agar lebih jelas. Lelaki tersebut seolah-olah mahu mencapai wang yang ada dalam dompet penulis, sehingga penulis terpaksa melarikannya ke tempat duduk penumpang sebelah sambil diperhatikan oleh isteri penulis. Lelaki berkenaan tidak puas hati kerana menurut beliau ada beberapa keping wang kertas lain yang belum ditunjukkan kepadanya. Penulis tetap tidak benarkan lelaki tersebut mencapai sendiri wang kami. Akhirnya lelaki tersebut beredar.
Penulis mula teringatkan paparan akhbar sebelum ini, yang menceritakan kisah seorang lelaki Melayu ditipu oleh warga asing sehingga wang untuk pengurusan kenduri kahwin anaknya berjumlah RM3000 lesap begitu sahaja. Jalan ceriatanya agak sama. Penulis dan keluarga amat bersyukur kerana terselamat daripada tipu daya berkenaan. Pengalaman ini amat memberi kesan kepada penulis agar sentiasa berhati-hati. Dunia hari ini memaksa kita agar memulakan sesuatu perkara dengan satu tanggapan yang buruk. Mulakan KEPERCAYAAN ANDA DARIPADA 0% BUKAN 100%. ... dunia dah akhir zaman.



















