Tahun baru masihi 2009 kali ini membuka tirainya dengan penuh duka dan luka. Rejim Zionis yahudi la’natullah telah melakukan tindakan bacul dan biadap tanpa perikemanusiaan dengan menyerang dan membunuh rakyat Palestin secara membabi-buta, tanpa mengira masyarakat awam yang tidak bersenjata dengan pejuang HAMAS yang mereka buru. Merekalah sebiadap-biadap insan di muka bumi ini. Firman Allah SWT:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).

Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. dan demi sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” [Surah al-Baqarah, 2:120]

Peristiwa ini telah menyebabkan ramai pihak menjadi ringan tangan’ ingin menghulurkan bantuan dalam apa saja bentuk yang mereka termampu berpaksikan rasa simpati kemanusiaan yang ada di dalam diri mereka. Ada yang menghulurkan sumbangan dari segi harta (wang ringgit), ada pula yang menyumbang dalam bentuk pakaian dan ubat-ubatan, dan ada pula yang mengambil langkah mendo’akan dibantunya saudara seislam di Palestin dan dihancurkan bangsa Yahudi zionis Israel.

Bantu dengan Doa dan Qunut Nazilah

Dalil disyariatkan qunut nazilah ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Abbas r.a, dia berkata:

“Rasulullah s.a.w. telah berqunut sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir ketika iktidal sehabis mengucapkan ‘sami’allahuliman hamidah.’ Di situ baginda berdoa untuk kebinasaan Banu Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu.” - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya. No: 1231

Anas bin Malik pula telah berkata:

“Rasulullah s.a.w. tidaklah pernah berdoa selepas bangun daripada rukuk kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai atau mengutuk sesetengah kaum itu.” - Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sahih Ibnu Khuzaimah dan juga diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Bulughul Maram, no: 0242

Mengerjakan qunut nazilah ketika terjadinya bencana dalam kaum Muslimin merupakan pegangan mazhab Syafi’i, Hanafi dan juga Hambali.

Berkaitan dengan perlaksanaan qunut nazilah ini Syaikh al-Mubarakfury telah berkata: Ini memang dikhususkan pada hari-hari genting dan ketika terjadinya peristiwa menakutkan atau bencana, kerana Nabi s.a.w. tidak pernah membaca qunut kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi kaum muslimin atau memohonkan kebinasaan kaum kafir – Dinukil dari kitab Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karangan Abdullah bin Abdurrahaman al-Bassam, jilid 2, ms. 236

Di antara lafaz-lafaz doa yang pernah Rasulullah s.a.w. ketika qunut nazilah adalah seperti berikut:

Ya Allah, Selamatkan al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisyam, Ayyash bin Abi Rabi’ah serta orang-orang beriman yang tertindas. Ya Allah. Timpakanlah kecelakaan daripada Mu kepada penduduk Mudhar, jadikanlah mereka atas mereka seperti tahun-tahun Yusuf (masa kemarau). – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 804

Ya Allah, Laknatlah fulan, fulan dan fulan - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 4559

Untuk situasi sekarang ini maka di dalam lafaz doa qunut nazilah tersebut hendaklah kita mendoakan keselamatan bagi rakyat Palestine dan ditimpakan kecelakaan terhadap rejim Zionis dan penyokong-penyokong kekejaman mereka.

Qunut nazilah ini dilaksanakan setelah mengucapkan ‘sami’allahuliman hamidah’ ketika bangun dari posisi rukuk. Hendaklah imam mengeraskan suaranya ketika berdoa dan makmun dibelakangnya mengaminkan doa tersebut. Inilah sunnah Rasulullah s.a.w. ketika terjadinya musibah yang melanda kaum Muslimin.

Source:

 

  1. http://www.al-fikrah.net
  2. http://akob73.blogspot.com
  3. http://purify-educate.blogspot.com