Anak Luar Nikah
2,399 kelahiran anak luar nikah dalam lima bulan
Sumber : Berita harian
JOHOR mencatatkan seramai 2,399 kelahiran anak luar nikah dari Januari hingga Mei tahun ini, menjadikan bilangan anak luar nikah di negeri itu mencecah seramai 15,610 orang sejak 2005.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan, Dr Robia Kosai berkata daripada 2,399 anak luar nikah itu, kaum Cina mencatatkan jumlah tertinggi dengan seramai 1,397 orang diikuti Melayu seramai 592 orang dan India 410 orang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md Othman Yusof (BN-Kukup) berhubung perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, semalam.
Robia berkata, sejak 2006 sehingga 25 Jun tahun ini, permohonan daftar lewat kelahiran yang direkodkan sejumlah 4,302 anak luar nikah.
"Pada tahun ini saja, kami menerima sebanyak 732 permohonan yang lewat mendaftar kelahiran," katanya.
Sehubungan itu, katanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), melaksanakan beberapa langkah perlu bagi mengatasi masalah terbabit daripada terus meningkat dengan melaksanakan program pembangunan remaja berasaskan Modul Permata KASIH dalam bentuk kursus ceramah, seminar dan bengkel.
Malah, LPPKN juga menyediakan kemudahan setempat pusat remaja iaitu Cafe@TEEN di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menerusi perkhidmatan kaunseling, ceramah perkembangan remaja dan pembimbing rakan sebaya.
"Selain itu, program kembara kaunseling sebagai 'titik mula' kepada perkhidmatan kaunseling masyarakat turut dilaksanakan melalui program ujian psikometri berkaitan 'gaya bercinta' dan 'kecenderungan kerjaya' sebagai daya tarikan kepada remaja mendapatkan perkhidmatan ini," katanya.
Menyentuh masalah lewat mendaftar kelahiran anak luar nikah, katanya kerajaan memandang serius perkara itu berikutan ketiadaan sijil kelahiran membabitkan pendaftaran sekolah pada masa akan datang.
"Oleh itu Jabatan Pendaftaran Negara mengambil inisiatif menjalankan Ops My Daftar, iaitu pergi ke kawasan pedalaman bagi membuka kaunter bagi membantu daftar lewat kelahiran," katanya.




















