Hari ini 13 November merupakan tarikh pengumuman keputusan UPSR 2008. Bagi guru dan murid inilah hari yang dinanti dengan penuh debaran. Berjaya atau gagalkah mencapai apa yang diharapkan sebelum ini. Bagi yang berjaya warga PEKDIS Mersing mengucapkan tahniah dan syabas. Namun bagi yang gagal, percayalah bahawa masih ada peluang untuk bangkit.

Ingatlah firman Allah;

"....Janganlah kamu berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf : 87)

Bangkit dari satu kegagalan adalah satu yang lebih manis. Tanamkan dalam diri dengan cita-cita atau kemahuan untuk lebih berjaya pada masa hadapan. Cita-cita atau kemahuan adalah umpama beliung tang tajam, dapat merubah hutan rimba menjadi jalan yang lapang. Ingatlah, bukan cita-cita namanya kalau hanya mengeluh dengan kata-kata, "...niat hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai..".

Jika sudah mencuba namun masih gagal, jangan bersedih. Pesan orang bijaksana, jika anda tidak dapat menjadi pandai, jadilah orang yang baik. Orang yang baik dalam erti bertaqwa kepada Allah SWT. Allah tidak akan lupakan anda. Yakinlah dengan sifat Ar-Rahim Allah. Insya-Allah kejayaan pasti akan datang pada masa depan dalam bentuk yang lain.

Bagi yang berjaya, mempertahankan kecemerlangan diri adalah sukar. Andai alpa dengan kejayaan ini dan terus dibuai dengannya, pasti kecemerlangan masa depan anda akan hilang. Besyukurlah dan teruskan beramal dengan ilmu yang ada dalam masa yang sama berusahalah lagi untuk mencipta kegemilangan yang lebih besar pada masa hadapan. Jika sebelum menduduki peperiksaan kita sering berdoa kepada Allah, jangan pula selepas mengecapi kejayaan kita lupa pada-Nya. Tingkatkan lagi amal ibadah bagi menunjukkah rasa syukur kita. Bukan sekadar mengucapkan Alhamdulillah. "...Cukuplah bagiku Allah ( yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.." (Surah At-Taubah : 129)

Buat guru-guru, teruslah berpesan untuk anak didik...
".....Setiap orang harus kuat bertarung dengan badai kehidupan. Kejayaan atau kegagalan merupakan ujian Allah SWT. Orang yang gigih berjuang menghadapi ujian Allah SWT telah dijanjikan tidak akan ditimpa kerugian bahkan selalu mendapat kemenangan sama ada di dunia mahupun akhirat. Ujian sebenarnya akan menjadikan kita lebih matang dan berkemampuan untuk menghadapi apa sahaja dugaan dan pancaroba hidup. Hanya Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik buat diri kita hamba-Nya.."

Hari ini adalah ujian sebenar kita sama ada menjadi manusia yang bersyukur dengan nikmat atau sebaliknya... Ingatlah Allah SWT tatkala masa senang mahupun susah....